Wednesday, June 11, 2008

Realisme dan Johan Marjonid!

Penghasilan sesebuah karya seni sememangnya berupaya untuk meningkatkan tahap sensitiviti manusia terhadap alam sekelilingnya. Melalui proses menghayati karya seni, bahasa visual yang ditampilkan pelukis menggantikan tutur bicaranya, lantas mengembangkan daya pemikiran penghayat untuk menghayati, menghargai serta memahami tatabahasa visual atau naratif penceritaan yang dipersembahkan. Johan Marjonid (2006) dalam Pameran Biru Hijaunya Belum pernah menyatakan “Alam bukan hanya dilihat pada keindahan fizikal dan visual yang dipersembahkan, tapi mesej serta penceritaan di sebaliknya adalah aspek utama yang diberi penekanan.” Kenyataan ini amat berkait rapat dengan pemahaman seseorang pelukis yang mampu membawa penghayat supaya melihat, memahami serta mengetahui apa yang tersirat di sebalik karya yang dipersembahkan. Kajian serta penyelidikan yang tersusun merupakan aspek yang penting dalam menentukan sesuatu unsur atau tema yang hendak diketengahkan kepada audien atau penghayat seni.

Hasil dari tindakan ini, pemahaman pelukis mampu dibentuk dengan lebih terancang dan teliti dalam menghasilkan sesebuah karya yang bermutu dan bernilai. Bertitik tolak dari keadaan tersebut, seseorang pelukis dilihat mampu untuk berkomunikasi dengan penghayat melalui karyanya. Mesej serta jalan penceritaan yang digarap melalui tema yang dibawa ternyata mampu difahami oleh audien atau pemerhati.

Bagi pelukis catan landskap Realisme Johan Marjonid, alam adalah pentas penceritaan yang penuh dengan rahsia dan keajaiban. Bagi beliau, alam bukan hanya sekadar paparan visual yang mengandungi koleksi nilai estetikanya. Interpretasi Johan seakan mengatasi batasan, alam mendatangkan pelbagai makna dan pengertian buat dirinya dan adakala tutur kata seakan tidak menepati bahasa tersirat yang dibicarakan oleh alam yang diharunginya. Melalui pendekatan ‘spiritual content’ dalam setiap pengolahan karyanya, Johan amat memahami alam cukup istimewa bagi dirinya dan jiwanya dari sehari ke sehari menyingkap sedalam mungkin rahsia yang tersimpan di sebalik keagungan ciptaan Tuhan. Bagi dirinya, alam dijadikan sebagai landasan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. [Johan Marjonid (2006)] Alam adalah simbol kehidupan yang dibawa oleh Johan, manakala peranan penghayat hanyalah menghayati nilai estetika atau keindahan sebagai wahana untuk mengagumi keagungan ciptaan Tuhan. Sketsa Landskap Perak di UiTM Shah Alam pada tahun 1991 adalah detik permulaan Johan mengenali bahasa alam.

Melalui Pameran Solo Melebu Alas pada tahun 1995 hinggalah ke Pameran Biru Hijaunya Belum 2006 di Balai Seni Lukis Negara, segala pemahaman dan tafsiran beliau mengenai keindahan alam sudah cukup mendatangkan pengertian buat penghayat seni yang lain. Subjek alam yang digarap penuh teliti di dada kanvas seakan mampu berinteraksi dengan audien atau penghayat yang melihat karyanya.

Tuesday, June 3, 2008

Sekilas Rasa Keindahan - Yusof Ghani

Yusof Ghani dilihat antara pejuang seni sezaman yang masih kukuh bertapak dalam kelas yang tersendiri. Beliau meletakkan kegusaran sebagai episod perjalanan dalam setiap pengolahan karyanya. Sesi temu bual penulis bersama beliau di Tapak Yusof Ghani, Shah Alam baru-baru ini telah cuba merungkaikan secebis lagi persoalan berkaitan keindahan.

Persepsi beliau dalam konteks keindahan alam cuba diatur mengikut gerak rasa dan pengalamannya sebagai pejuang seni tampak di Malaysia. Yusof Ghani dilihat merungkaikan keindahan alam sebagai satu babak kerisauan buat dirinya. Apatah lagi perubahan yang mula menghantui proses dirian alam seakan mencengkam perasaannya dalam berkarya. Beliau ternyata melihat alam pada sebabnya...bagaimana lahirnya gunung dan bukit bukau, kesuburan tanaman serta apa saja yang terbentuk secara lahiriah di atas muka bumi ini. Apresiasinya adalah dari situasi dan keadaan tersebut.

Adakah ia suatu wajah keindahan apabila cuba dirosakkan dan mula berlakunya ketidakseimbangan yang ketara? Kerisauan ini cuba dibangkitkan dalam setiap babak penceritaannya di dalam karya.

Sesuatu yang pasti, beliau akan berterusan memaparkan keresahan hatinya pada alam selagi terdaya dan bernyawa!