PELUKIS JALANAN. Istilah ini mungkin kedengarannya agak biasa, sudah biasa dan tidak perlu dipanjang-panjangkan interpretasinya. Mungkin. Ya, bagi sesetengah orang lain mungkin tidak perlu dibicarakan hal-hal sebegini, namun bagi saya ia adalah sesuatu yang perlu dipersoalkan. Sudah hampir 60 tahun seni lukis di Malaysia bergerak dengan begitu ‘membanggakan’ diiringi pelbagai gaya dan ideologi yang bersilih ganti mewarnai persada perjuangan dalam kalangan pengkarya mahupun pejuang seni lukis itu sendiri. Maka sejak itu jugalah penglabelan pelukis jalanan masih terngiang-ngiang mengisi ruang seni sezaman dengan gema yang agak jengkel dan meloyakan.
Suatu ketika dahulu kita pernah digegarkan dengan Persatuan Cat Air Pulau Pinang,
Wednesday Art Group,
Nanyang Art Group ataupun Angkatan Pelukis Malaysia yang memberi titik mula untuk para-para pelukis tempatan memulakan langkah mencari arah dan hala tuju seni lukis tanah air.
Abdullah Ariff, Yong Mun Sen, Tay Hooi Keat, Khaw Sia mahupun Kou Ju-Ping adalah antara pengasas tradisi seni lukis moden di negara ini. Tidak ketinggalan juga nama-nama pejuang
Nanyang Art Group (Akademi Seni Halus Nanyang) yang pernah menimbulkan persoalan tentang satu identiti kesenian iaitu Cheong Soo-Pieng, Chen Chong Swee, Georgette Chen dan Chen Wen-Hsi. Mereka ini datang dari pelbagai corak latar belakang, fahaman dan ideologi yang tersendiri. Pernah menerima didikan seni aliran
Beaux-Arts di kota-kota besar Negara China seperti Shanghai, Canton dan Amoy. Sekadar mengingati kembali sejarah lama asal-usul kegemilangan seni lukis moden di Malaysia. Dan ingatan ini amat berguna untuk kita agar tidak secara terus-terusan untuk merterjemahkan seseorang itu sebagai pelukis jalanan, ataupun pelukis bukan jalanan (kerana tidak melukis di tepi jalan). Siapa pelukis jalanan?
Jawapan saya, tiada sesiapa pun yang wajar digelar pelukis jalanan. Ya, tiada sesiapa. Pelukis tetap pelukis, yang membezakan hanya latar belakang pendidikan dan pengalaman yang diperolehi seseorang pelukis itu sendiri. Soal penglabelan siapa pelukis jalanan mahupun pelukis bukan jalanan tidak perlu timbul dan diada-adakan. Tidak perlu!
Cuma saya takut selepas ini bertempiaranlah lari pelukis-pelukis ‘asli’ (bukan jalanan) dengan lakaran-lakaran
masterpiece mereka untuk menghindarkan diri dari aktiviti
outdoor sketching. Takut digelar pelukis jalanan.
Sketching pula hanya dilakukan senyap-senyap di dalam rumah (pelukis dalaman). Agak melucukan jika ini berlaku.
Pengetahuan, bakat, pengalaman, pemikir yang kritis lantas kreatif, semua ini anugerah yang tidak ternilai bagi sesiapa yang mendasari sesebuah perjuangan seni itu sendiri. Sama ada keupayaan dan kelebihan ini diasah dan digilap dengan semakin hebat atau sebaliknya ia terpulang kepada setiap individu. Soal melukis di tepi jalan, tepi taman, sungai, tasik, bukit, reban mahupun jamban bukanlah satu perkara yang perlu diperbesarkan hingga menjadi ikut-ikutan yang sudah tidak rasional lagi bentuknya.
Seharusnya situasi ini dipimpin dengan penuh rasa hormat dan perlu disemai segala sifat tanggapan yang positif dan membina. Apakah hanya dengan bakat semata-mata tanpa latar belakang pendidikan yang begitu membanggakan, ia wajar terus dihukum dengan penglabelan yang agak menjengkelkan? Terus tercampak ke ‘jalanan’ setara dengan hanya memiliki bakat tanpa pendidikan formal yang sepatutnya?
Ini soal dan cerita lapuk dahulu kala yang rata-ratanya memiliki televisyen tanpa warna. Celik tapi buta. Sewajarnya tidak ada mana-mana kelompok yang terpisah. Tidak perlu diulang-ulang perihal ‘jalanan’ mewarnai seni sezaman di Malaysia. Pelukis tetap pelukis. Tujuan hanyalah satu bersama-sama memartabatkan kegemilangan seni yang sudah lama diperjuangkan di bumi Malaysia tercinta.
Apa yang penting setiap karya itu adalah hasil dari jari jemari sendiri, bukannya tercipta atas keringat orang lain. Takut-takut dihujungnya nanti lahir pula ‘pengkarya’ yang hanya sekadar bertindak sebagai
the last finisher….. 'DISEDIAKAN OLEH:'