Friday, October 29, 2010

Sorotan Kembali - Pameran Solo Wow! Oleh Zaharuddin Sarbini

















Realisme dan Zaharuddin Sarbini

Zaharuddin Sarbini merupakan artis catan landskap Realisme yang dilihat mula mencipta nama dalam arus perjuangan catan landskap di Malaysia. Artis yang dilahirkan pada 14 April 1966 ini tidak pernah berputus asa dalam penghasilan karya yang bersifat konvensional walaupun diasak hebat dengan kehadiran teknologi memenuhi gelanggang dan pameran-pameran seni. Beliau yang memiliki Machinery Engineering Diploma dari UTM Skudai kelihatan begitu bersemangat dalam mengetengahkan apresiasi beliau terhadap alam semula jadi melalui karya yang dihasilkan.
Zaharuddin atau nama panggilannya Zaha seperti yang acapkali tertulis pada setiap penjuru bawah kanvasnya, mula memasuki arena pameran sejak tahun 1995. Beliau menjadikan cat air dan minyak sebagai medium bahantara dalam setiap pengkaryaannya. Pameran Terbuka Shah Alam 1995 adalah detik permulaan yang bermakna buat Zaharuddin apabila Anugerah Inisiatif jatuh ke tangannya. Pada 2003, sekali lagi Zaharuddin melakukan kejutan dengan merangkul Anugerah Inisiatif pada Pameran Terbuka Shah Alam 2003. Beliau turut mendapat beberapa anugerah lagi dari pertandingan catan landskap yang lain seperti yang dipertandingkan di Pertandingan Catan Philips Morris dan Tasik Kenyir.

Alam semula jadi adalah inspirasi Zaharuddin dalam berkarya. Beliau menjadikan flora dan fauna sebagai subjek utama dalam melahirkan rasa penghargaan terhadap keindahan yang dialami dan dinikmati oleh beliau. Karya-karya beliau juga sudah menjadi koleksi bagi beberapa buah syarikat dan badan kerajaan. Antaranya, Permodalan Nasional Berhad, Hong Leong Bank, Bank Negara, Nippon Oil, Idris Hydraulic, dan koleksi peribadi beberapa individu dari Jepun serta England.

Wednesday, October 27, 2010

PERCIKAN SENI - Siti Zainon Ismail

Persoalan ‘hidup dan mati’ bentuk seni yang sebelah lagi iaitu puisi dalam ruang lingkup penggayaan karya seni di Malaysia kembali wujud dalam perkiraan saya. Mungkin hanya saya yang begitu teruja membangkitkannya kembali. Walhal ia mungkin perkara remeh untuk terus diperdebatkan. Adalah lebih baik pada ketika ini jika berbicara soal berapakah ‘harga’ untuk karya yang hanya menggunakan bitumen semata-mata ataupun kisah ‘raja besi’ yang mula terdetik hati untuk mengecat arca-arca buatan tangannya.

Secara hakikat, agak lewat untuk memperkatakan semula tentang perihal ‘inti’ dan ‘kuah’ wadah Percikan Seni yang diterbitkan sekitar tahun 1989 ini. Namun, kewajarannya masih ada. Sudah menjangkau 21 tahun seniman ataupun pengkarya ‘bergelumang’ dalam apa jua bentuk ide dan pengolahan, kupasan serta komentar, tetapi unsur-unsur yang jelas mengandungi hubungkait ‘rapat’ dengannya seakan dianaktirikan. Maka tinggallah nama-nama seperti Siti Zainon Ismail, Abdul Latiff Mohidin, Abdul Ghaffar Ibrahim, Ismail Abdullah, mahupun Mustaffa Haji Ibrahim dalam meneruskan ‘adunan’ pengkaryaan seperti ini iaitu melukis dan menghasilkan sajak. Hingga ada pula yang menyatakan bahawa apabila anda seorang penyair atau penyajak maka anda tidak ‘layak’ untuk melukis. Sampainya hati berkata sedemikian.

Perihal atau perlakuan melukis adalah berkarya dan hal-hal yang berkaitan puisi atau sajak juga adalah karya. Jadi mengapa perlu disisihkan? Saya tidak menuduh. Tapi hakikatnya begitu dewasa ini.

Pelukis adalah pemikir, meluahkan rasa pandang penghargaan dan ekspresinya ke dada-dada kanvas mahupun medium yang lain. Manakala penyajak juga adalah pemikir, meluahkan intipati suara hatinya ke atas kertas-kertas mahupun apa jua bahantaranya dengan bait-bait puisi. Bezanya pelukis menggambarkan objek atau ekspresinya secara visual, manakala penyajak melalui kata-kata. Mampukah kiranya visual yang digambarkan berinteraksi dengan begitu berjaya tanpa sebarang ucap rasa dari seorang pelukis itu sendiri? Dan bait-bait puisi pula ‘bersuara’ tanpa kata-kata? Jawapannya tentu tidak bukan.

Saya ingin membawa anda kembali kepada perkara asas yang telah disebutkan pada peringkat awal tadi iaitu soal pemikiran. Siapa yang melangsungkan perlakuan seperti ini? Pastinya pelukis atau penyajak itu sendiri. Hal ini bertitik tolak dari proses menanggapi sesuatu subjek, justeru diberi penilaian dan seterusnya penggayaan sesebuah karya itu bermula. Maka tiada sebab mengapa seseorang pelukis tidak boleh menghasilkan sajak dan seorang penyajak tidak boleh ‘melukis’ pusi-puisinya. Secara asas, perlakuannya bergerak secara bersama namun hanya penggayaannya menuntut kaedah dan cara yang berbeza. Menurut Siti Zainon Ismail, puisi merupakan hakikat seni. Dengan adanya nilai puisi inilah, puisi akan dapat menyentuh hati. Begitu jugalah lukisan yang mengandungi poetical weight dianggap sebagai ‘puisi bisu’, sajak sebagai ‘puisi kata-kata’. Menurut A. Latiff Mohidin, “Lukisan ialah dunia sepi. Puisi senyap tanpa suara”. (Percikan Seni, Siti Zainon Ismail, 1989)

Saya bersetuju dengan Siti Zainon Ismail apabila yang dikatakan ‘seniman’ itu adalah seseorang yang menghasilkan puisi. Tafsiran mengenai puisi itu seharusnya dilihat dari skop yang lebih luas dan terbuka. Perkara ini jelas mempunyai persamaan apabila tafsiran ‘penyair’ itu sendiri menyatakan seseorang seniman adalah yang menghasilkan karya puitis. Jika dirujuk kepada akar kata puisi ia berasal daripada bahasa Yunani iaitu poesi – perusi yang membawa maksud membuat atau menghasilkan sesuatu. Selain itu, melalui bahasa Sanskrit penemuan istilah karya turut membawang maksud yang sama iaitu membuat. Pada zaman Rennaisance Itali, ditemui perkataan arte yang berasal daripada bahasa Yunani juga iaitu ars, yang membawa makna ketukangan (craftsmanship), keterampilan, penguasaan bentuk, penciptaan, pengolahan antara bentuk, idea, teknik, dan bahan. Dengan ini tiga perkataan asas yang sering kita gunakan iaitu seni, karya, dan puisi sebenarnya mempunyai makna yang saling berhubungan di antara satu sama lain.

Justeru, jika anda seorang pelukis maka ‘karangkanlah’ bahasa visual anda dengan setulus yang mungkin mewakili buah bicara yang tak terucap. Dan jika anda seorang penyajak ‘lukiskanlah’ bahasa puisi anda dengan penuh keluhuran dan keikhlasan mewakili rasa pandang visual yang telah dilalui.

Tuesday, October 26, 2010

Sekilas Tentang Keindahan

‘Keindahan’ adalah suatu perkara yang menjadi persoalan utama dalam senario seni sezaman terutamanya di Malaysia. Sifatnya dilihat saling berkait dengan perihal estetik yang merujuk kepada sesuatu subjek alam mahupun objek seni yang mempunyai nilai kepada penglihatan serta tanggapan setiap individu. Hal ini merujuk kepada sesuatu yang indah, menarik, mengagumkan, cantik dan mempersonakan.

Perasaan individu itu sendiri mampu mencerminkan tanggapan ke atas sesuatu objek yang diinterpretasikan sebagai indah. Melalui keindahan itulah terkandungnya nilai estetik. Sekilas bicara tentang rasa estetika, sifat ini lebih menjurus kepada perihal dalaman seseorang individu atau pengkarya berhubung soal keindahan dan sesuatu yang menyenangkan. Perasaan rohaniah ini dapat dilihat melalui perlakuan sehari-hari seperti cara berpakaian, menghias, mendengar mahupun bersolek.

Situasi ini dilihat mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam diri seseorang seniman atau pengkarya itu sendiri. Prinsip estetika ini secara dasarnya berupaya membentuk suatu keadaan yang bersifat kompleks terhadap pengucapan apresiasi secara lebih menyeluruh ke atas sesuatu subjek.

Pemahaman dan Pembawakan Pengkarya

Roskang Jailani (2005) pernah menyatakan bahawa seharusnya setelah lebih 50 tahun seni di Malaysia berkembang, para seniman sudah mempunyai kekuatan dalaman sendiri yang mampu membawa mereka bergerak lebih jauh dari sekarang ini. Bagi beliau seniman ataupun pengkarya perlu mempunyai gaya tersendiri dan tidak takut untuk berdepan dengan persoalan jati diri. Kepercayaan bahawa seniman meniru gaya barat sebagai ‘idola’ harus dikuburkan. Seniman, baginya perlu berani dan keluar dari kepompong yang menyelimuti diri selama ini.

Menyingkap kembali era perkembangan seni lukis moden Malaysia yang bermula sejak tahun 1930an hingga sekarang. Senario ini bukan sahaja menggambarkan peralihan pandangan dalam seni lukis, malahan sebenarnya ia menggambarkan perubahan dan perkembangan idea serta pandangan yang berlaku dalam kehidupan sosial, ekonomi, dan politik kita. Sebagai contoh, pengaruh pemikiran Islam yang pada satu ketika mewarnai gaya seni lukis jelas menggambarkan situasi ketika itu, ideologi Islam sedang berkembang dalam negara yang turut berubah dari segi sosial, ekonomi, dan politik. Apabila perubahan ideologi bertukar ganti, terlihat pula bagaimana perubahan kepada gaya karya yang lebih berbentuk hebahan atau propaganda telah bertapak dalam ekspresi artistik kita. Namun yang demikian, apa yang perlu diketahui sesebuah penilaian seni adalah berbeza bagi setiap individu. Hal ini disebabkan kebolehan mengenal pasti keindahan adalah satu konsep yang menggabungkan pemerhati dan objek, apa yang terhasil dan yang dihasilkan selepas itu. Oleh itu, perasaan memainkan peranan penting dalam menilai keindahan. Maksudnya, deria luaran (persepsi) menjadi asas kepada deria dalaman, kedua-duanya haruslah bertindak seiring, tepat, sempurna, dan sensitif.

Melihat senario yang berlaku sekitar 1960an, sejarah seni lukis moden Malaysia sememangnya boleh dibanggakan. Artis atau pelukis tempatan dilihat mula menapak hebat dalam persoalan mencari identiti dan memperluaskan pandangan secara lebih kritikal dalam dunia seni sezaman. Mengimbau karya pelukis Cheong Soo Pieng yang bertajuk Tropical Life, 1959 cuba menggambarkan kehidupan seharian di sebuah kampung Melayu yang mengandungi pandangan ‘pictorial’ yang cukup menarik. Gambaran beberapa kumpulan diasingkan antara satu sama lain oleh sebatang pokok yang tegak. Hal ini menyebabkan kewujudan ruang-ruang tertentu dan meletakkan pandangan penghayat untuk menikmati karya dari arah kiri ke kanan dan kanan ke kiri.

Kemunculan pelukis Syed Ahmad Jamal telah merancakkan lagi persada seni lukis moden Malaysia. Penglibatan karya yang lebih berunsurkan emosi dan vitalistik diolah melalui gambaran pemandangan tempatan. Melalui karya beliau yang bertajuk Nipah Palm pada tahun 1956, Syed Ahmad Jamal cuba menggambarkan pemandangan di tepi sungai yang berlumpur dengan tumbuh-tumbuhan dan awan yang menekankan unsur metafora dan gerak-geri.
Beralih kepada gaya persembahan catan landskap pelukis Yeoh Jin Leng melalui karyanya yang bertajuk Sawah Padi, 1963. Gambaran kawasan sawah padi di Terengganu pada musim menuai yang cuba diolah oleh beliau boleh ditakrifkan sebagai tindak balas emosinya atau emotive response dengan tempat atau kawasan yang dilihatnya. Sapuan berus yang bertindak balas dengan emosinya telah menggambarkan olahan karyanya dalam keadaan yang cukup bertenaga dan meyakinkan.

Dalam penyiapan peragaan pameran seni lukis Malaysia terdapat tiga perkara yang perlu difahami untuk menggambarkan sejarah seni lukis di Malaysia. Aplikasi penyampaian mesej pensejarahan ini harus dibuat mengikut tahun atau secara kronologi. Pertamanya, era di mana seni lukis itu lebih mirip ke gaya lukisan barat mungkin pada zahirnya bentuk dan idea tidak ditiru tetapi karya-karya ini menerapkan nilai kesenian barat. Maka lukisan-lukisan yang dihasilkan ketika ini adalah terdiri dari lukisan landskap bermedia cat air dan cat minyak, potret, lukisan alam benda, dan abstrak. Apabila media batik diperkenalkan, arah tuju seni lukis telah beralih kepada bentuk formalisma iaitu penghasilan karya yang berlandaskan estetika. Lukisan-lukisan lebih berbentuk pemandangan tempatan dan gambaran cara hidup di Malaysia ketika itu. Subjek tempatan yang dipilih ini dikatakan sebagai lambang atau identiti “KeMalayaan” atau “KeMalaysiaan” malah lukisan abstrak juga telah diilhamkan dari nilai-nilai psikologi tempatan dan serantau. (Artikel Sejarah Seni Rupa Malaysia, 2007)

Mendekati pengkarya catan landskap Johan Marjonid, beliau amat berdedikasi sebagai seorang pelukis yang memilih hutan hujan sebagai subjeknya. Melalui pendekatan 'spiritual content' dalam setiap pengolahan karya, Johan amat memahami alam cukup istimewa bagi dirinya dalam menyingkap sedalam mungkin rahsia yang tersimpan di sebalik keagungan ciptaan Tuhan.
Alam adalah simbol kehidupan yang dibawa oleh Johan, manakala peranan penghayat adalah menghayati nilai estetika atau keindahan sebagai wahana untuk mengagumi keagungan ciptaan Tuhan.

Hakikat Sebuah 'Keindahan'

Kenyataan awal yang perlu diperhalusi adalah perbezaan tahap kebolehan setiap individu dalam merungkai suatu gerak rasa ‘Keindahan’ yang dialami. Seseorang seniman atau pengkarya perlu berterusan melatih pancaindera sehingga berupaya menikmati keindahan dengan kadar yang sebenarnya melalui kebolehan intelektual. Melalui buku Falsafah dan Kritikan Seni (2004) tulisan Mohd Johari Ab. Hamid, salah seorang tokoh falsafah moden Barat iaitu Johann Joachim Winckelmann telah membicarakan tentang kebolehan individu menyedari akan kewujudan keindahan seni. Winckelmann telah menggabungkan pemerhatian dan objek yang diperolehi dengan tujuan mengenal dan menyedari akan nilai keindahan. Sebagai contoh, apa yang dihayati oleh seseorang itu menarik, tetapi tidak pada pandangan orang lain. Bila melihat baju berwarna kehijauan dan sejuk mata bila memandang, belum tentu lagi menarik bagi individu yang gemarkan warna merah. Keadaan ini berlaku impak dari pengamatan dan teknik tafsiran yang telah meletakkan warna hijau itu tidak ada keindahannya. Maka gaya pengamatan dan keupayaan mentafsir seseorang individu itu pastinya berbeza.

Sewajarnya diakui, perasaan yang terdiri daripada luaran dan dalaman adalah penting untuk mengenal dan menikmati keindahan. Ketetapan deria luaran adalah bergantung kepada pemerhatian bentuk sebenar, warna dan rupa. Deria dalaman pula hendaklah bersifat sensitif dan dapat menghayati mesej yang hendak disampaikan. Pancaindera dalaman mampu menyokong pengkarya menghargai seni kerana sewaktu menilai seni atau keindahan, seseorang itu tidak sahaja melihatnya secara luaran (external) malahan akan mengaitkannya dengan perasaan dalaman (internal). Semakin kuat perasaan dalaman diri seseorang itu bermakna semakin kuatlah apresiasi mereka terhadap seni.

Dalam menilai keindahan seni seseorang itu haruslah mengambil kira beberapa faktor penting dalam proses tersebut. Pertama, sewajarnya bermula dengan kesan-kesan intelek dan kemudian kepada pengolahannya. Kedua, penelitian seharusnya diberikan kepada alam semula jadi. Hal ini kerana seni adalah satu proses peniruan alam semula jadi dan sewajarnya mengenepikan sifat keganasan dalam melakar serta perlu berpaksi kepada pengetahuan yang menjurus kepada keindahan. Ketiga, pengolahan perlu dibuat dengan sifat kelembutan dalam menilai keindahan iaitu menggunakan fikiran dan sifat keintelektualan. Sewajarnya difahami, kejelasan dan keikhlasan yang merakam sifat kesungguhan dalam berkarya merupakan proses yang menghubungkan seseorang pelukis, karya mahupun penonton itu sendiri. (Muliyadi Mahamood, 2007).

Hakikat sesebuah penilaian tentang keindahan, setiap pemerhati ataupun penghayat mempunyai seleranya sendiri. Demi mengetahui seleranya itu, mereka akan menyelami ke dasar jiwanya.

Wednesday, June 11, 2008

Realisme dan Johan Marjonid!

Penghasilan sesebuah karya seni sememangnya berupaya untuk meningkatkan tahap sensitiviti manusia terhadap alam sekelilingnya. Melalui proses menghayati karya seni, bahasa visual yang ditampilkan pelukis menggantikan tutur bicaranya, lantas mengembangkan daya pemikiran penghayat untuk menghayati, menghargai serta memahami tatabahasa visual atau naratif penceritaan yang dipersembahkan. Johan Marjonid (2006) dalam Pameran Biru Hijaunya Belum pernah menyatakan “Alam bukan hanya dilihat pada keindahan fizikal dan visual yang dipersembahkan, tapi mesej serta penceritaan di sebaliknya adalah aspek utama yang diberi penekanan.” Kenyataan ini amat berkait rapat dengan pemahaman seseorang pelukis yang mampu membawa penghayat supaya melihat, memahami serta mengetahui apa yang tersirat di sebalik karya yang dipersembahkan. Kajian serta penyelidikan yang tersusun merupakan aspek yang penting dalam menentukan sesuatu unsur atau tema yang hendak diketengahkan kepada audien atau penghayat seni.

Hasil dari tindakan ini, pemahaman pelukis mampu dibentuk dengan lebih terancang dan teliti dalam menghasilkan sesebuah karya yang bermutu dan bernilai. Bertitik tolak dari keadaan tersebut, seseorang pelukis dilihat mampu untuk berkomunikasi dengan penghayat melalui karyanya. Mesej serta jalan penceritaan yang digarap melalui tema yang dibawa ternyata mampu difahami oleh audien atau pemerhati.

Bagi pelukis catan landskap Realisme Johan Marjonid, alam adalah pentas penceritaan yang penuh dengan rahsia dan keajaiban. Bagi beliau, alam bukan hanya sekadar paparan visual yang mengandungi koleksi nilai estetikanya. Interpretasi Johan seakan mengatasi batasan, alam mendatangkan pelbagai makna dan pengertian buat dirinya dan adakala tutur kata seakan tidak menepati bahasa tersirat yang dibicarakan oleh alam yang diharunginya. Melalui pendekatan ‘spiritual content’ dalam setiap pengolahan karyanya, Johan amat memahami alam cukup istimewa bagi dirinya dan jiwanya dari sehari ke sehari menyingkap sedalam mungkin rahsia yang tersimpan di sebalik keagungan ciptaan Tuhan. Bagi dirinya, alam dijadikan sebagai landasan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. [Johan Marjonid (2006)] Alam adalah simbol kehidupan yang dibawa oleh Johan, manakala peranan penghayat hanyalah menghayati nilai estetika atau keindahan sebagai wahana untuk mengagumi keagungan ciptaan Tuhan. Sketsa Landskap Perak di UiTM Shah Alam pada tahun 1991 adalah detik permulaan Johan mengenali bahasa alam.

Melalui Pameran Solo Melebu Alas pada tahun 1995 hinggalah ke Pameran Biru Hijaunya Belum 2006 di Balai Seni Lukis Negara, segala pemahaman dan tafsiran beliau mengenai keindahan alam sudah cukup mendatangkan pengertian buat penghayat seni yang lain. Subjek alam yang digarap penuh teliti di dada kanvas seakan mampu berinteraksi dengan audien atau penghayat yang melihat karyanya.