Wednesday, June 11, 2008

Realisme dan Johan Marjonid!

Penghasilan sesebuah karya seni sememangnya berupaya untuk meningkatkan tahap sensitiviti manusia terhadap alam sekelilingnya. Melalui proses menghayati karya seni, bahasa visual yang ditampilkan pelukis menggantikan tutur bicaranya, lantas mengembangkan daya pemikiran penghayat untuk menghayati, menghargai serta memahami tatabahasa visual atau naratif penceritaan yang dipersembahkan. Johan Marjonid (2006) dalam Pameran Biru Hijaunya Belum pernah menyatakan “Alam bukan hanya dilihat pada keindahan fizikal dan visual yang dipersembahkan, tapi mesej serta penceritaan di sebaliknya adalah aspek utama yang diberi penekanan.” Kenyataan ini amat berkait rapat dengan pemahaman seseorang pelukis yang mampu membawa penghayat supaya melihat, memahami serta mengetahui apa yang tersirat di sebalik karya yang dipersembahkan. Kajian serta penyelidikan yang tersusun merupakan aspek yang penting dalam menentukan sesuatu unsur atau tema yang hendak diketengahkan kepada audien atau penghayat seni.

Hasil dari tindakan ini, pemahaman pelukis mampu dibentuk dengan lebih terancang dan teliti dalam menghasilkan sesebuah karya yang bermutu dan bernilai. Bertitik tolak dari keadaan tersebut, seseorang pelukis dilihat mampu untuk berkomunikasi dengan penghayat melalui karyanya. Mesej serta jalan penceritaan yang digarap melalui tema yang dibawa ternyata mampu difahami oleh audien atau pemerhati.

Bagi pelukis catan landskap Realisme Johan Marjonid, alam adalah pentas penceritaan yang penuh dengan rahsia dan keajaiban. Bagi beliau, alam bukan hanya sekadar paparan visual yang mengandungi koleksi nilai estetikanya. Interpretasi Johan seakan mengatasi batasan, alam mendatangkan pelbagai makna dan pengertian buat dirinya dan adakala tutur kata seakan tidak menepati bahasa tersirat yang dibicarakan oleh alam yang diharunginya. Melalui pendekatan ‘spiritual content’ dalam setiap pengolahan karyanya, Johan amat memahami alam cukup istimewa bagi dirinya dan jiwanya dari sehari ke sehari menyingkap sedalam mungkin rahsia yang tersimpan di sebalik keagungan ciptaan Tuhan. Bagi dirinya, alam dijadikan sebagai landasan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. [Johan Marjonid (2006)] Alam adalah simbol kehidupan yang dibawa oleh Johan, manakala peranan penghayat hanyalah menghayati nilai estetika atau keindahan sebagai wahana untuk mengagumi keagungan ciptaan Tuhan. Sketsa Landskap Perak di UiTM Shah Alam pada tahun 1991 adalah detik permulaan Johan mengenali bahasa alam.

Melalui Pameran Solo Melebu Alas pada tahun 1995 hinggalah ke Pameran Biru Hijaunya Belum 2006 di Balai Seni Lukis Negara, segala pemahaman dan tafsiran beliau mengenai keindahan alam sudah cukup mendatangkan pengertian buat penghayat seni yang lain. Subjek alam yang digarap penuh teliti di dada kanvas seakan mampu berinteraksi dengan audien atau penghayat yang melihat karyanya.

Tuesday, June 3, 2008

Sekilas Rasa Keindahan - Yusof Ghani

Yusof Ghani dilihat antara pejuang seni sezaman yang masih kukuh bertapak dalam kelas yang tersendiri. Beliau meletakkan kegusaran sebagai episod perjalanan dalam setiap pengolahan karyanya. Sesi temu bual penulis bersama beliau di Tapak Yusof Ghani, Shah Alam baru-baru ini telah cuba merungkaikan secebis lagi persoalan berkaitan keindahan.

Persepsi beliau dalam konteks keindahan alam cuba diatur mengikut gerak rasa dan pengalamannya sebagai pejuang seni tampak di Malaysia. Yusof Ghani dilihat merungkaikan keindahan alam sebagai satu babak kerisauan buat dirinya. Apatah lagi perubahan yang mula menghantui proses dirian alam seakan mencengkam perasaannya dalam berkarya. Beliau ternyata melihat alam pada sebabnya...bagaimana lahirnya gunung dan bukit bukau, kesuburan tanaman serta apa saja yang terbentuk secara lahiriah di atas muka bumi ini. Apresiasinya adalah dari situasi dan keadaan tersebut.

Adakah ia suatu wajah keindahan apabila cuba dirosakkan dan mula berlakunya ketidakseimbangan yang ketara? Kerisauan ini cuba dibangkitkan dalam setiap babak penceritaannya di dalam karya.

Sesuatu yang pasti, beliau akan berterusan memaparkan keresahan hatinya pada alam selagi terdaya dan bernyawa!

Wednesday, May 28, 2008

Seni Untuk Masyarakat...Mengapa Perlu Berbohong?

Tulisan ini sekadar imbasan kembali bagaimana aku merentas kehebatan Kuala Lumpur baru-baru ini mencari sebilangan pengkarya dalam mengupas teori dan konsep yang berkaitan tentang keindahan. Kisah pelukis yang bergelumang dengan retorik dan pembohongan, ada juga yang tersipu-tersipu mengatur kata perdebatan, tidak kurang yang melakonkan watak antagonis, dan yang pastinya hanya minoriti bersikap intelek dalam perdebatan...rata-rata cukup menyedihkan. Manakan tidak, lain yang ditanya lain pula yang dijawab. Tiada soalan penyelesaian rumus algebra atau pecahan trigonometri, tapi hanya soalan biasa menjurus kepada pembawakan dan perwatakan pengkarya dalam aliran yang diperjuangkan.

Perjalanan aku mulakan di sekitar Central Market..terus ke Jalan Conlay, Bangsar, Balai Seni Lukis Negara, KLCC, Shah Alam serta Kajang..di mana tempat aku pernah berjuang dulu, cuma seketika bersama artis Realisme tanah air yang cukup aku sanjungi. Situasinya tak pernah berubah setelah aku rumuskan segala diskusi dan perdebatan. Secara lumrah, aku berbangga..tapi sampai bila sekelumit retorik ini cuba dipentaskan dalam keadaan yang sebegini? Hampir 50 tahun yang lalu kita bergelut dengan pelbagai cengkaman ideologi dalam perjuangan seni di Malaysia, rakus dengan pembawakan stail dan identiti sendiri..lalu terlupa wajah seni Malaysia berkarat di hujung jari sendiri! Jika benar seni untuk masyarakat..mana keluhurannya? Kewajarannya di mana? Apabila ada sebilangan karya seni terpampang megah dan indah..menceritakan tentang penderitaan anak-anak di Palestin, musnahnya sebuah negara kerana perebutan kuasa..terkulainya si ibu di tangan perosak bangsa...sedangkan pengkarya yang menghasilkan karya tersebut tidak pernah melaluinya?

Jika benar seni untuk masyarakat...mengapa cuba berbohong?

Kejujuran adalah sebahagian daripada sifat seni yang sama-sama kita juangkan..

Monday, May 19, 2008

Seni Catan Landskap di Malaysia: Realiti atau Sekadar Retorik?

Menurut Dr Zakaria Ali (2005) dalam tulisannya, Renungan ke Atas Catan Landskap, kebanyakan pelukis-pelukis yang meminati catan landskap ialah mewarisi lima pengajaran dari apa yang pernah diutarakan oleh pelukis pelawat Inggeris yang pernah mewarnai dunia seni tempatan pada awal tahun 1940an dahulu.Pertama, rakaman landskap merupakan usaha yang selektif, membenarkan pelukis memilih hal benda yang dia suka, dan menolak apa yang tidak digemarinya. Kedua, pepohon dan gunung menjadi lambang kebesaran alam yang tabiatnya sukar untuk diteka dan dikawal. Ketiga, tema yang tersirat itu ialah penaklukan melalui aktiviti perdagangan dan ketenteraan. Keempat, aktiviti melukis itu berfaedah demi mententeramkan jiwa, malah boleh menjadi sumber pendapatan. Lima, landskap sebagai bukti bahawa seliar mana pun sesuatu tempat di benua asing yang jauh itu, ia tetap boleh dijinakkan dengan rakaman yang nantinya boleh disimpan dalam khazanah bangsa, dipamerkan dan dikatalogkan untuk kegunaan generasi akan datang.[Dewan Budaya, Jun (2006)]

Secara jelas, perjalanan seniman atau para pengkarya dalam memperjuangkan seni catan landskap telah dikenalpasti bermula sejak tahun 1930an lagi. Bermula dengan barisan pelukis seperti Abdullah Arifff, Yong Mun Sen, Tay Hooi Keat, Mazli Mat Som mahupun Zakaria Noor hinggalah ke generasi artis landskap sekarang, landasan perjuangannya hanyalah satu iaitu mengutarakan mesej yang tersirat di sebalik keindahan yang ingin dipersembahkan kepada pemerhati atau penghayat seni itu sendiri. Tuntasnya senario ini mewakili pegangan dan tujuan yang sama iaitu cuba mengetengahkan sebaik mungkin unsur keindahan, kelangsungan apresiasi mahupun nilai kecintaan yang lebih bersifat simbolik.

Namun, proses evolusi seni catan landskap di Malaysia seakan tiada rumusan yang mampu direncanakan secara tepat. Hanya kepelbagaian ideologi dan cara pembawakan berlegar-legar tanpa arah dan tujuan yang benar-benar mampu berdiri pada landas yang sempurna. Pembacaan terhadap seni tampak moden, tradisi, kebudayaan, sejarah, identiti, bahasa, representasi, tanda, makna, dan 'diri sendiri' (dari kerangka modernisme) menjadi tunggang-langgang. [Hasnol Jamal Saidon, Takung, 2005]

Suatu bentuk persembahan seni yang berasaskan sains dan teknologi mahupun new media bukanlah sesuatu yang wajar untuk diketengahkan sebagai alasan agar pejuang seni konvensional terus bersembunyi dalam 'tempurung ciptaan sendiri'. Titik perungkaian lapangan seni melalui skop yang lebih bersifat terbuka dan fleksibel adaah satu keperluan dalam mencapai kepelbagaian melalui bentuk seni itu sendiri. Melalui sifat 'keterbukaan' ini, para pengkarya seni catan landskap sezaman seharusnya meletakkan pelbagai percaturan baru dalam persaingan yang lebih bersifat terbuka dan kontemporari.Identiti pengkarya seni catan landskap Malaysia masih menjadi satu titik persoalan yang begitu sinis tanpa kerangka pendefinisian yang begitu membanggakan.

Seniman ataupun pengkarya dilihat cukup 'terhimpit' dalam persaingan mencari dan menegakkan identit sendiri. Namun, perjalanan seni catan landskap yang bermula sejak 1930an hingga ke hari ini telah menggambarkan suatu proses pembawakan karya seni catan landskap yang cukup menghambarkan. Pelbagai gaya pengolahan dan cara pembawakan yang cuba ditonjolkan, namun nilai pemikiran secara kolektivisme seakan tidak pernah diamalkan. Perkaitannya cukup jelas jika dibandingkan dengan pernyataan Socrates, 'Keindahan dan kemerduan yang terdapat dalam karya seni hanya akan dapat diwujudkan apabila penyair (pelukis) itu masih lagi bernaung di bawah akal budi yang rasional...' [Falsafah dan Kritikan Seni, (2005)]

Jika diteliti, landasan perjalanan dan hala tuju pengkarya seni catan landskap di Malaysia seakan tiada pegangan yang mampu diterjemahkan secara literal. Justeru, penerokaan dan pembahanan idea-idea secara kolektif dan tersusun akan membawa kepada satu titik evolusi catan landskap yang sempurna dan berkesan kepada para pemerhati dan penghayat seni itu sendiri.Pemikiran mahupun pemahaman terhadap seni catan landskap di Malaysia seharusnya diperlebarkan dalam skala yang lebih luas lagi. Melihat alam secara fizikal dan luaran semata-mata ebih banyak mengundang kepada implikasi persembahan karya yang kurang berkesan dan sempurna. Keserasian melalui daya pemikiran dan cara penyampaian seharusnya berada pada satu landasan dan ketetapan yang sama. Pembentukan senario atau suasana seperti ini sewajarnya berlanjutan pada era seni catan landskap sezaman ini.Ideologi-ideologi yang menghimpit proses pemikiran secara terbuka dan efektif akan merencanakan suatu keadaan tanpa cetusan evolusi yang sewajarnya.

Disiplin pengolahan serta persembahan karya yang pelbagai akan menghasikan impak yang benar-benar berkesan kepada audien mahupun pemerhati. Justeru, percaturan dari segi idea, gaya persembahan dan tindak balas emosi perlu diberi penelitian yang sempurna agar apresiasi penghayat mampu dijadikan sebagai 'taruhan' dalam menginterpretasikan proses kelangsungan interaksi sesebuah karya dengan pemerhati itu sendiri.

Seni dan Antagonis Yang Semakin Bercelaru!

Dalam keadaan separa sedar mungkin, atau sedang sedar atau tidak sedar...malah mungkin juga buat-buat tidak sedar. Perihal ini ternyata membawa satu konotasi yang cukup membimbangkan dewasa ini. Pergelutan mengejar dan menegakkan identiti hampir berterusan tanpa menunjukkan tanda-tanda ia akan berhenti. Impaknya kepada kita, para penghayat berada dalam proses 'pembaharuan' seni yang begitu membimbangkan dan mungkin mencurigakan. Perihal tuntutan arus teknologi sezaman ini mengetengahkan konsep atau bentuk seni 'baru' yang mungkin sudah lama diperkatakan oleh Jonathan Fineberg. Adakah relevan kedatangan bentuk seni 'baru' ditolak mentah-mentah?Kita seharusnya melihat dari arah yang sebaliknya.

Jika budaya 'mengangguk' dan 'mengiakan' segala tuntutan era peralihan (teknologi), kesannya bentuk penyampaian seni yang seharusnya diperdebatkan secara rasional bersimpang-siur tanpa haluan atau arah tuju yang sebenarnya. Relevan penolakan bentuk seni baru sememangnya ada. Bentuk seni baru atau new media art dilihat cuba melakukan proses penolakan yang begitu 'halus' terhadap pembawakan seni yang berlaku pada era sebelumnya. Rasionalnya, tiada pendefinisian yang boleh ditimbulkan secara jelas dan mengatakan peralihan ini adalah satu cetusan evolusi yang 'sihat' dan bermanfaat. Sebenarnya 'keghairahan' menerima peralihan ini telah memburukkan lagi keadaan. Penglabelan bentuk seni baru mematahkan satu persatu kerangka pendefinisian literal dan konseptual seni yang sebenarnya sekitar era 1930an dahulu. Jika senario ini mengalami satu proses perubahan secara tersusun dan berperingkat mungkin masih boleh ditelan kewajarannya.

Namun, kewujudannya seakan mengubah semua yang telah direncanakan sebelum ini.Seni berpaksi pada satu tunjang definisi yang tetap iaitu seni bermaksud halus (kecil), elok, tipis dan halus, enak didengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan. Manakala seni, II: membawa maksud karya termasuklah sajak, lukisan, muzik dan lain lagi yang dicipta dengan bakat atau kecekapan, dan hasil daripada sesuatu ciptaan.[halaman 1452-53, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat (2005)] Manakala perkataan 'baru' bermaksud belum (tidak ada sebelumnya), belum lama wujud (dikeluarkan, diterbitkan) atau belum pernah dilaksanakan. Maka penilaian secara jelas boleh dilakukan, 'seni baru' membawa maksud sesuatu ciptaan karya yang belum pernahdikeluarkan atau tidak ada pada pada sebelumnya.

Jadi, perjalanan sejak 1930an dulu diklasifikasikan sebagai bentuk apa kalau bukan seni? Kita tinggalkan persoalan itu di sini untuk dinilai secara lebih rasional. Jika diambil contoh, kita tidak pernah 'rojakkan' zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dan zaman pemerintahan yang sedia ada pada masa sekarang. Proses evolusi yang sihat ini masing-masing mendukung ideologi dan fahaman yang tersendiri. Jika wujud pemerintahan Kesultanan Melayu 'Baru' sekarang, pasti ada yang melenting. Perihanya sama dengan apa yang diperdebatkan dalam konteks seni pada masa sekarang.

Aras dan takat waktu perjalanan seni ada batas dan sempadan yang tidak boleh dilanggar sewenang-wenangnya.Kedatangan atau kewujudan arus kemodenan adalah satu proses peralihan zaman bukannya proses mempengaruhi keadaan yang telah disempadankan. Sains dan teknologi adalah kekuatan pada perubahan zaman yang telah berlaku. Pengaruhnya ke atas kehidupan masyarakat tidaklah wajar dipergunakan sebagai medium merojakkan identiti seni itu sendiri. Seni masih berlindung di dalam kerangka literal mahupun konseptual yang tersendiri dan mengalami proses dirian sempadan yang benar-benar mutlak dan sempurna.