Thursday, July 28, 2011

Soal Identiti : Di Mana Seni Kita?

Terdetik untuk menulis kembali apabila terlalu lama aku tinggalkan ruangan maya ini. Aku bersetuju dari pelbagai sudut ruang pandang mengatakan 'perjuangan' seni di Malaysia penuh dengan semangat budaya dan jati diri. Tambahan pula keadaan ini senantiasa silih berganti dengan segala macam kerenah birokrasi ciptaan manusia yang semakin malas untuk menurut kehendak 'interpretasi' diri sendiri. Bersetuju juga dikatakan hampir setiap silih masa kita dihidangkan dengan pelbagai pameran dan diskusi seni yang amat mengiurkan perasaan. Kadangkala teruja dan selalunya kecewa seadanya.

Ramai mungkin kiranya yang ingin menjadi artis ulung yang saban hari menyimpan beratus-ratus karya misteri dan hebat mencecah ratusan ribu ringgit. Tika masa silih berganti, tika ini jua anak-anak muda semakin 'rakus' mencipta karya kegilaan ramai. Langsung budaya dan nilai-nilai jati diri dihakis begitu cepat dan hilang tanpa arah duduk yang rasional. Atas alasan inilah kita mula hilang identiti dan hala tuju. Perkara ini kedengaran seperti remeh, namun jika ada yang teliti pasti tersimpan sesuatu yang perlu dihuraikan kembali.

Di mana kita?

Thursday, December 23, 2010

Sebuah Intipati : Pelukis Palsu?

Pilih jalan selamat. Baris kata ini saya rasa lebih sesuai untuk menggambarkan suasana forum seni yang telah diadakan di Dewan M, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini. Seakan 'sesat' bila tidak kelihatan sepanduk, kain rentang atau penunjuk arah bertajuk 'Pelukis Palsu?' di sekitar dewan mahupun perkarangan pintu utama institusi tersebut. Rupa-rupanya para penghayat serta pengkarya cuba 'disembunyikan' dalam serumpun tajuk baru iaitu Cabaran dan Peranan Pendidikan Seni dalam Menangani Isu Pengkaryaan. Mana tajuk asal?

Mungkin atas sebab-sebab tertentu ia tidak dipamerkan sedemikian rupa. 'Pelukis Palsu' juga seakan hangat bunyi tajuknya.

Segalanya berjalan lancar. Cuma ada detik-detik seakan kelihatan seperti perbentangan kertas kerja biasa dan bukannya sebuah sidang seni atau debat yang hangat mencurah himpunan idea melangkaui sempadan normal seni tampak sezaman. Kelihatannya sebegitu. Ya. Adakalanya.

Sidang seni tetap juga berlangsung atas kapasiti tajuk 'Pelukis Palsu?' dengan ucapkata dan hukum tertentu oleh barisan panel yang tidak kurang hebatnya. Prof. Dr. Zakaria Ali tampak 'jaguh' memulakan definisi pelukis palsu dengan menyatakan seseorang yang telah mengakui dirinya bukan seperti dirinya. Beliau memberi terjemahan bahawa yang palsu itu adalah seseorang yang mengakui dirinya tetapi pada hakikatnya ia tidak sedemikian rupa. Sebagai contoh, seseorang yang mengaku dirinya seniman tetapi dia bukan seniman. Hukuman telah diberikan sedemikian rupa. Ada yang menerima? Jika ada, sama-sama kita 'ia' kan akan tulus dan kebenarannya. Jika tidak, debat ini mungkin memakan masa yang lebih panjang. Sepatutnya begitu.

Dr. Mohd Johari Ab. Hamid selaku panel yang kedua ada interpretasinya yang tersendiri. Kadangkala seakan-akan tidak terluah apa yang terbuku di hati beliau. Seperti ada yang memerhati dan mengawasi setiap kata-kata yang diluahkan oleh beliau. Sebegitu kelihatannya. Saya sekadar meneka. Dalam bicaranya, Dr. Johari menyatakan bahawa tidak ada kayu ukur yang sebenar untuk mengatakan siapa yang palsu. Justeru, beliau turut menegaskan realitinya memang ada. Agak membingungkan bukan? Beliau menyatakan tiada kayu ukur untuk mengatakan atau melabelkan siapa yang palsu, tapi realitinya memang ada dan wujud dalam seni tampak sezaman di Malaysia. Bunyinya seakan cuba memenangi hati kedua-dua belah pihak. Pihak pertama mengatakan adanya pelukis palsu, manakala pihak kedua menidakkannya. Aneh. Yang mana satu idaman kalbu Dr. Johari?

Kita tinggalkan persoalannya di situ. Lebih suci dan murni kiranya difikirkan bersama.

Beralih kepada panel seterusnya iaitu Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail, beliau memulakan bicara dengan menyatakan bahawa pelukis itu bermula dengan menulis dan bukan melukis. Beliau merujuk kepada situasi atau cara hidup pada zaman Kesultanan Melayu sebelum ini. Bagaimana proses menghias istana dan laman Sultan ketika itu dihiasi dengan tulisan-tulisan yang indah dan menarik. Namun soal melukis pada masa itu belum lagi bermula. Semuanya bermula dari tulisan. Kelihatan Dr. Siti Zainon memberi pandangan yang lebih bersifat terbuka dan jauh untuk difikirkan bersama. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa pemikir-pemikir seni adalah bagus untuk mengembangkan perihal seni sezaman di Malaysia.

Tengku Sabri Tengku Ibrahim tampil dengan persoalan yang begitu panas untuk dijawab sebenarnya. Sebagai panel yang terakhir, Tengku kelihatan seakan tidak begitu senang dengan penglabelan pelukis palsu itu sendiri. Jika dipanjangkan 'riwayat' diskusi atau debat seni ini mungkin keadaannya akan menjadi sesuatu yang lebih berbeza. Alang-alang menyeluk pekasam kata orang. Mengambil dan mengupas persoalan yang diketengahkan oleh beliau, Tengku mempersoalkan adakah 'Pelukis Palsu?' merupakan sebuah pemikiran Dr. Zakaria Ali atau ia adalah idea Dr. Johari Ab. Hamid?

Selepas persoalan Tengku inilah suasana forum seakan tampak baru bermula sebenarnya. Namun, panas tidak sampai ke petang rupanya. Masa amat mencemburui. Forum atau sidang ini digulung bicara dalam keadaan yang belum benar-benar 'masak' mengikut pandangan saya. Ya. Belum lagi.

Dr. Zakaria Ali diberi 'keutamaan' untuk mengakhiri sidang ini secara keseluruhannya. Beliau meninggalkan secalit kata untuk santapan penghayat seni yang hadir pada ketika itu. Dr. Zakaria menyatakan bahawa tidak semua orang boleh menjadi seniman yang bagus, dan tidak semua orang juga boleh menjadi seorang guru yang bagus. Jadi siapa yang bagus?

Kita jawab bersama. Jujur dari hati. Demi seni yang kita cintai.

Thursday, November 4, 2010

Forum Sidang Seni: Pelukis Palsu?


Merujuk kepada tulisan blog saya sebelum ini pernah disentuh tentang isu pelukis 'jalanan' itu sendiri. Kali ini kelihatan suatu sudut senario seni sezaman di Malaysia semakin rancak dengan penglabelan pelukis 'palsu' pula. Siapa yang tulen? Perihal ini akan diperbincangkan dalam forum sidang seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris tidak lama lagi. Apa pun rumusan penuh tidak boleh diberikan lagi memandangkan forum ini belum bermula. Cuma saya mengharapkan dengan kehadiran ahli-ahli panel yang tidaklah begitu asing namanya dalam persada seni tanahair dapat memberi hujahan dan idea yang mampu mencerminkan suatu perbahasan dan diskusi menarik.

Menarik maksud saya bukanlah dengan lawak jenaka mahupun selingan-selingan yang tidak bermanfaat untuk didengari para audien. Tapi menarik bagi saya adalah mungkin panel-panel dapat membentangkan idea dan hujah-hujah yang jarang difikirkan bersama. Bukan hanya sembang-sembang kosong dan kadang-kadang kedengarannya seperti lapuk. Ini realiti yang berlaku hari ini. Mana-mana audien dan pemerhati seni tidak mahu perkara seperti ini menjadi terlalu biasa dalam ruang perbahasan seni di Malaysia.

Saya 'menjangkakan' isi forum seni ini (Pelukis Palsu?) akan membicarakan soal para pelukis di Malaysia yang hampir pupus bilangannya. Maka bagaimana kita sebagai seorang yang memberi idea dan sumbangan-sumbangan dalam memelihara martabat seni di Malaysia mampu mengatasi atau sekurang-sekurangnya cuba mengurangkan permasalahan ini dari 'merebak' dengan begitu meruncing. Maka saya juga 'menjangkakan' forum ini akan menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa tidak perlu wujud gelaran atau penglabelan pelukis palsu, tulen atau tidak tulen itu sendiri. Itu jangkaan saya.

Namun, jika forum ini cuba membahaskan keadaan yang sebaliknya, ia sesuatu yang agak membimbangkan dewasa ini. Maksud saya, jika forum seni ini memperdebatkan soal kehadiran pelukis 'palsu' atau apa pun interpretasi yang menjurus ke arah penglabelan tersebut, perihal ini perlu dipandang serius. Saya lontarkan suatu persoalan biasa untuk dijawab bersama, terlalu tinggikah nilai perjuangan seni kita hari ini hingga sanggup melabelkan seseorang pelukis itu sebagai pelukis palsu? Sejauh manakah ketulenan yang ada pada kita?

Benarlah seperti kata Pak Yusof (Yusof Gajah), jangan sempitkan pemikiran kita dengan hal-hal yang sebegini. Maka seharusnya dibicarakan soal pelukis itu sendiri. Bukannya soal siapa yang betul-betul seorang pelukis atau siapa yang tidak lagi menjadi betul dalam melukis. Dari kita membincangkan soal betul salah, palsu tulen, adalah lebih baik memperhalusi perihal kewujudan dan percambahan pelukis-pelukis di Malaysia itu sendiri. Mencari satu usaha agar komuniti ini terus berkembang dan bercambah. Jangan sampai suatu masa, ia terus hilang dan pupus maka forum atau sidang apakah lagi yang mampu kita hasilkan melainkan hanya dengan satu forum sidang seni yang bertajuk: Pelukis Pupus? 

"ketika kita sibuk bicarakan pelukis asli dan palsu kita sudah terjerumus dalam kancah pemikiran sempit adalah lebih baik kita bicara tentang nasib spesis yang namanya pelukis daripada pupus dibumi ini...." (Yusof Gajah, 2010)

''great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people''.

Sunday, October 31, 2010

Interpretasi - Siapa Pelukis Jalanan?

PELUKIS JALANAN. Istilah ini mungkin kedengarannya agak biasa, sudah biasa dan tidak perlu dipanjang-panjangkan interpretasinya. Mungkin. Ya, bagi sesetengah orang lain mungkin tidak perlu dibicarakan hal-hal sebegini, namun bagi saya ia adalah sesuatu yang perlu dipersoalkan. Sudah hampir 60 tahun seni lukis di Malaysia bergerak dengan begitu ‘membanggakan’ diiringi pelbagai gaya dan ideologi yang bersilih ganti mewarnai persada perjuangan dalam kalangan pengkarya mahupun pejuang seni lukis itu sendiri. Maka sejak itu jugalah penglabelan pelukis jalanan masih terngiang-ngiang mengisi ruang seni sezaman dengan gema yang agak jengkel dan meloyakan.

Suatu ketika dahulu kita pernah digegarkan dengan Persatuan Cat Air Pulau Pinang, Wednesday Art Group, Nanyang Art Group ataupun Angkatan Pelukis Malaysia yang memberi titik mula untuk para-para pelukis tempatan memulakan langkah mencari arah dan hala tuju seni lukis tanah air.

Abdullah Ariff, Yong Mun Sen, Tay Hooi Keat, Khaw Sia mahupun Kou Ju-Ping adalah antara pengasas tradisi seni lukis moden di negara ini. Tidak ketinggalan juga nama-nama pejuang Nanyang Art Group (Akademi Seni Halus Nanyang) yang pernah menimbulkan persoalan tentang satu identiti kesenian iaitu Cheong Soo-Pieng, Chen Chong Swee, Georgette Chen dan Chen Wen-Hsi. Mereka ini datang dari pelbagai corak latar belakang, fahaman dan ideologi yang tersendiri. Pernah menerima didikan seni aliran Beaux-Arts di kota-kota besar Negara China seperti Shanghai, Canton dan Amoy. Sekadar mengingati kembali sejarah lama asal-usul kegemilangan seni lukis moden di Malaysia. Dan ingatan ini amat berguna untuk kita agar tidak secara terus-terusan untuk merterjemahkan seseorang itu sebagai pelukis jalanan, ataupun pelukis bukan jalanan (kerana tidak melukis di tepi jalan). Siapa pelukis jalanan?

Jawapan saya, tiada sesiapa pun yang wajar digelar pelukis jalanan. Ya, tiada sesiapa. Pelukis tetap pelukis, yang membezakan hanya latar belakang pendidikan dan pengalaman yang diperolehi seseorang pelukis itu sendiri. Soal penglabelan siapa pelukis jalanan mahupun pelukis bukan jalanan tidak perlu timbul dan diada-adakan. Tidak perlu!

Cuma saya takut selepas ini bertempiaranlah lari pelukis-pelukis ‘asli’ (bukan jalanan) dengan lakaran-lakaran masterpiece mereka untuk menghindarkan diri dari aktiviti outdoor sketching. Takut digelar pelukis jalanan. Sketching pula hanya dilakukan senyap-senyap di dalam rumah (pelukis dalaman). Agak melucukan jika ini berlaku.

Pengetahuan, bakat, pengalaman, pemikir yang kritis lantas kreatif, semua ini anugerah yang tidak ternilai bagi sesiapa yang mendasari sesebuah perjuangan seni itu sendiri. Sama ada keupayaan dan kelebihan ini diasah dan digilap dengan semakin hebat atau sebaliknya ia terpulang kepada setiap individu. Soal melukis di tepi jalan, tepi taman, sungai, tasik, bukit, reban mahupun jamban bukanlah satu perkara yang perlu diperbesarkan hingga menjadi ikut-ikutan yang sudah tidak rasional lagi bentuknya.

Seharusnya situasi ini dipimpin dengan penuh rasa hormat dan perlu disemai segala sifat tanggapan yang positif dan membina. Apakah hanya dengan bakat semata-mata tanpa latar belakang pendidikan yang begitu membanggakan, ia wajar terus dihukum dengan penglabelan yang agak menjengkelkan? Terus tercampak ke ‘jalanan’ setara dengan hanya memiliki bakat tanpa pendidikan formal yang sepatutnya?

Ini soal dan cerita lapuk dahulu kala yang rata-ratanya memiliki televisyen tanpa warna. Celik tapi buta. Sewajarnya tidak ada mana-mana kelompok yang terpisah. Tidak perlu diulang-ulang perihal ‘jalanan’ mewarnai seni sezaman di Malaysia. Pelukis tetap pelukis. Tujuan hanyalah satu bersama-sama memartabatkan kegemilangan seni yang sudah lama diperjuangkan di bumi Malaysia tercinta.

Apa yang penting setiap karya itu adalah hasil dari jari jemari sendiri, bukannya tercipta atas keringat orang lain. Takut-takut dihujungnya nanti lahir pula ‘pengkarya’ yang hanya sekadar bertindak sebagai the last finisher….. 'DISEDIAKAN OLEH:'

Friday, October 29, 2010

Anuar Dan - Seni Bina Rumah Melayu

Permulaan Anuar Dan hanyalah karya-karya bersifat lakaran yang menggunakan pen dan dakwat. Karya-karya beliau lebih menjurus kepada landskap suatu ketika dulu. Minatnya yang mendalam terhadap pengeksplorasian bahan, telah menjadikan Anuar lebih ‘matang’dalam mengetengahkan sesuatu. Hari ini, seni bina rumah Melayu antara subjek utama yang cuba diberi penekanan dalam setiap pengolahan karyanya. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1960 di Taiping, Perak memiliki Degree in Graphic Design pada tahun 1983 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Lebih tepat dinyatakan, hampir kebanyakan karya yang dihasilkan oleh Anuar adalah berlandaskan media campuran. Dirinya yang mementingkan eksplorasi bahan sememangnya tidak dapat mengenepikan unsur media campuran dalam setiap pengolahan yang dilakukan.

Jika dilihat sepintas lalu, teknik persembahan karya beliau seperti melihat karya Pablo Picasso, George Braque dan Marcel Duchamp dari aliran Kubisme. Hal ini jelas kelihatan apabila meneliti komposisi pada setiap subjek dalam pengolahan karyanya yang terhasil daripada perletakan cerek, tepak sirih, seterika, mesin jahit, pasu dan sangkar burung.

Pameran Fakulti di UiTM Shah Alam pada tahun 1983 adalah detik permulaan Anuar. Beliau dilihat semakin serius dalam arena pengkaryaan apabila bertugas sebagai penolong kurator di Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1984. Pada tahun yang sama, beliau turut menyertai Young Contemporary di Balai Seni Lukis Negara dan Water Colour Art Exhibition di City Hall, Kuala Lumpur. Pada tahun 1986, Anuar mula mengorak langkahnya dengan menyertai Space Art Exhibition di Balai Seni Lukis Negara dan yang terbaru The Memory yang diadakan di Ranting Art, Shah Alam.

Zainurin Mohamad @ Ajis

Zainurin Mohamad atau nama panggilannya Ajis merupakan seorang artis catan yang begitu cepat menjulang naik. Cubaan ‘berani’ menelusuri dasar laut dalam eksplorasinya untuk berkarya telah menjadikan Zainurin atau Ajis sebagai titik ‘permulaan’ yang terus mewarnai arus kontemporari. Walaupun perjuangannya masih berunsurkan konvensional, seharusnya pendekatan beliau dalam berkarya wajar diangkat sebagai satu usaha bersifat kontemporari. Beliau yang dilahirkan pada 25 Mei 1964 di Kajang, Selangor punyai cerita penuh berliku dalam memperjuangkan karya selama ini.

Ajis mempunyai minat sebagai seorang ahli geologi, tetapi sebaik saja beliau menamatkan pengajiannya pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beliau mula menukar minat menjadi seorang pelukis. Kekecewaan apabila permohonan melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ditolak bahkan disindir supaya pulang ke kampung telah menguatkan lagi semangatnya yang sentiasa berfikiran positif dengan menjadikan sindiran itu sebagai cabaran. Kejayaan hidupnya bermula apabila namanya dicatatkan dalam sejarah negara pada Jun 2000 selepas muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya melukis gambar kehidupan sebenar di dasar laut di Pulau Tenggol, Terengganu.

Landskap atau persekitaran dasar laut sudah menjadi subjek utama dalam perjuangan beliau. Pengolahan berbagai jenis hidupan dan tumbuhan laut dalam pengkaryaan menjadi simbolik apresiasi beliau agar ia turut dipelihara dan dilindungi. Ajis pernah menerima Anugerah Duta Negara 2004, Anugerah Pameran Lukisan Dasar Laut sempena Festival Seni Air Terbesar Malaysia dan telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada April 2002.

Alam Mujarad – Tajalli Abdullah

Tajalli Abdullah merupakan seorang artis catan landskap yang memegang persepsi tersendiri terhadap alam. Penghayatannya terhadap alam berlaku menerusi pengucapan bahasa visual yang mujarad. Bermula pada tahun 1979, Tajalli menerima Diploma Seni Halus dari Institut Teknologi Mara (ITM) dan kemudian beliau melanjutkan pelajarannya di Itali dalam Diploma in Working Stone and Marble pada tahun 1981. Selepas itu, pada tahun 1986 beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Catan) dari University of Illinois, Amerika Syarikat. Tajalli meneruskan lagi pelajarannya di universiti yang sama dan selepas itu beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Pendidikan Seni Lukis pada tahun 1988.

Anak jati Kedah Darul Aman ini mula menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bidang seni sejak tahun 1970. Beberapa pameran solo telah berjaya diadakan oleh beliau, antaranya ialah di McKinley Foundation, Illinois pada tahun 1988 dan di Galeri University of Illinois pada tahun yang sama. Tajalli juga turut bergerak dalam akviti pameran secara berkumpulan seperti Pameran Arca Itali pada tahun 1981, Vive la Palestine pada 1983, Pameran Persatuan Pelukis Malaysia pada 1990, dan Reflections pada tahun 1991. Sebagai salah seorang tenaga pengajar di Multimedia University (MMU), Cyberjaya, beliau tidak pernah berputus asa dalam menyerap pengalaman dan pengetahuan seninya sebagai pembawakan beliau di sana. Bermula sejak tahun 1979 di MMU Cyberjaya, Tajalli bukanlah seorang artis yang diasah untuk bersifat komersial tetapi keunikan ideologi dan pegangannya telah meletakkan Tajalli dalam aras yang tersendiri.

Sesuatu yang harus diketahui tentang karya Tajalli, ia terbentuk menerusi dua kaedah pengolahan, iaitu pengolahan terancang dan pegolahan berunsurkan kespontanan. Impak mujarad adalah pegangan hakiki Tajalli.