Thursday, December 23, 2010

Sebuah Intipati : Pelukis Palsu?

Pilih jalan selamat. Baris kata ini saya rasa lebih sesuai untuk menggambarkan suasana forum seni yang telah diadakan di Dewan M, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini. Seakan 'sesat' bila tidak kelihatan sepanduk, kain rentang atau penunjuk arah bertajuk 'Pelukis Palsu?' di sekitar dewan mahupun perkarangan pintu utama institusi tersebut. Rupa-rupanya para penghayat serta pengkarya cuba 'disembunyikan' dalam serumpun tajuk baru iaitu Cabaran dan Peranan Pendidikan Seni dalam Menangani Isu Pengkaryaan. Mana tajuk asal?

Mungkin atas sebab-sebab tertentu ia tidak dipamerkan sedemikian rupa. 'Pelukis Palsu' juga seakan hangat bunyi tajuknya.

Segalanya berjalan lancar. Cuma ada detik-detik seakan kelihatan seperti perbentangan kertas kerja biasa dan bukannya sebuah sidang seni atau debat yang hangat mencurah himpunan idea melangkaui sempadan normal seni tampak sezaman. Kelihatannya sebegitu. Ya. Adakalanya.

Sidang seni tetap juga berlangsung atas kapasiti tajuk 'Pelukis Palsu?' dengan ucapkata dan hukum tertentu oleh barisan panel yang tidak kurang hebatnya. Prof. Dr. Zakaria Ali tampak 'jaguh' memulakan definisi pelukis palsu dengan menyatakan seseorang yang telah mengakui dirinya bukan seperti dirinya. Beliau memberi terjemahan bahawa yang palsu itu adalah seseorang yang mengakui dirinya tetapi pada hakikatnya ia tidak sedemikian rupa. Sebagai contoh, seseorang yang mengaku dirinya seniman tetapi dia bukan seniman. Hukuman telah diberikan sedemikian rupa. Ada yang menerima? Jika ada, sama-sama kita 'ia' kan akan tulus dan kebenarannya. Jika tidak, debat ini mungkin memakan masa yang lebih panjang. Sepatutnya begitu.

Dr. Mohd Johari Ab. Hamid selaku panel yang kedua ada interpretasinya yang tersendiri. Kadangkala seakan-akan tidak terluah apa yang terbuku di hati beliau. Seperti ada yang memerhati dan mengawasi setiap kata-kata yang diluahkan oleh beliau. Sebegitu kelihatannya. Saya sekadar meneka. Dalam bicaranya, Dr. Johari menyatakan bahawa tidak ada kayu ukur yang sebenar untuk mengatakan siapa yang palsu. Justeru, beliau turut menegaskan realitinya memang ada. Agak membingungkan bukan? Beliau menyatakan tiada kayu ukur untuk mengatakan atau melabelkan siapa yang palsu, tapi realitinya memang ada dan wujud dalam seni tampak sezaman di Malaysia. Bunyinya seakan cuba memenangi hati kedua-dua belah pihak. Pihak pertama mengatakan adanya pelukis palsu, manakala pihak kedua menidakkannya. Aneh. Yang mana satu idaman kalbu Dr. Johari?

Kita tinggalkan persoalannya di situ. Lebih suci dan murni kiranya difikirkan bersama.

Beralih kepada panel seterusnya iaitu Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail, beliau memulakan bicara dengan menyatakan bahawa pelukis itu bermula dengan menulis dan bukan melukis. Beliau merujuk kepada situasi atau cara hidup pada zaman Kesultanan Melayu sebelum ini. Bagaimana proses menghias istana dan laman Sultan ketika itu dihiasi dengan tulisan-tulisan yang indah dan menarik. Namun soal melukis pada masa itu belum lagi bermula. Semuanya bermula dari tulisan. Kelihatan Dr. Siti Zainon memberi pandangan yang lebih bersifat terbuka dan jauh untuk difikirkan bersama. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa pemikir-pemikir seni adalah bagus untuk mengembangkan perihal seni sezaman di Malaysia.

Tengku Sabri Tengku Ibrahim tampil dengan persoalan yang begitu panas untuk dijawab sebenarnya. Sebagai panel yang terakhir, Tengku kelihatan seakan tidak begitu senang dengan penglabelan pelukis palsu itu sendiri. Jika dipanjangkan 'riwayat' diskusi atau debat seni ini mungkin keadaannya akan menjadi sesuatu yang lebih berbeza. Alang-alang menyeluk pekasam kata orang. Mengambil dan mengupas persoalan yang diketengahkan oleh beliau, Tengku mempersoalkan adakah 'Pelukis Palsu?' merupakan sebuah pemikiran Dr. Zakaria Ali atau ia adalah idea Dr. Johari Ab. Hamid?

Selepas persoalan Tengku inilah suasana forum seakan tampak baru bermula sebenarnya. Namun, panas tidak sampai ke petang rupanya. Masa amat mencemburui. Forum atau sidang ini digulung bicara dalam keadaan yang belum benar-benar 'masak' mengikut pandangan saya. Ya. Belum lagi.

Dr. Zakaria Ali diberi 'keutamaan' untuk mengakhiri sidang ini secara keseluruhannya. Beliau meninggalkan secalit kata untuk santapan penghayat seni yang hadir pada ketika itu. Dr. Zakaria menyatakan bahawa tidak semua orang boleh menjadi seniman yang bagus, dan tidak semua orang juga boleh menjadi seorang guru yang bagus. Jadi siapa yang bagus?

Kita jawab bersama. Jujur dari hati. Demi seni yang kita cintai.

No comments: